Sunday 16 October 2011

Industri sawit perlu terokai bidang hiliran - TPM 11/10/2011

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kerajaan menyasarkan industri minyak sawit Malaysia menyumbang sejumlah RM178 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) mulai tahun 2020.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu industri berkenaan terperangkap dalam pengeluaran hasil yang bersifat semi produk semata-mata.
Katanya, sudah sampai masanya bagi syarikat pengeluar minyak sawit negara menerokai penghasilan produk hiliran yang mampu memberi pulang lumayan, berasas kelapa sawit.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah proaktif ke arah membantu industri berkenaan melalui pengenalan lapan projek perintis di peringkat huluan dan hiliran.
"Industri minyak sawit sangat penting dan ia terkandung dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sebagai salah satu industri bagi menerajui Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan.
"Namun, kita sedar industri ini berdepan dengan pelbagai cabaran sama ada dari segi kekurangan tenaga buruh, bentuk muka bumi serta saingan sengit pengeluar minyak masak dunia lain.
"Sebab itu untuk kekal kompetitif, industri ini perlu menerokai produk hiliran yang bernilai tambah tinggi di samping mengekalkan kekuatan penghasilan huluan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya di sini, malam ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin serta Pengerusi MPOA, Datuk Abd. Wahab Maskan.
Pada majlis berkenaan, empat tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan industri kelapa sawit negara diberi anugerah penghargaan MPOA 2011.
Mereka ialah, Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng; Bekas Pengerusi Majlis MPOA, Tan Sri Dr. Mohd. Noor Ismail; Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad dan Pengasas MPOA, Tun Dr. Lim Keng Yaik.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, di samping menerokai produk hiliran yang bermutu tinggi, industri minyak sawit Malaysia juga perlu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara.
Menurutnya, inisiatif itu selain bakal menidakkan usaha pihak antarabangsa untuk menyerang industri minyak sawit negara, ia juga selari dengan hasrat Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment