Sunday 16 October 2011

Racun serangga bahan semula jadi 21/09/2011

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Syarikat pengeluar bahan kimia pertanian, Imaspro Resources Sdn. Bhd. memperkenalkan racun serangga yang menggunakan bahan semula jadi pertama di dunia yang dikenali sebagai Envo-Cyper.
Racun serangga yang berasaskan air itu berupaya untuk mengawal kumbang tanduk khususnya di kawasan perladangan kelapa sawit.
Pengurus Kanan Imaspro Resources, Hanapi Sainon berkata, Envo-Cyper yang menggunakan formulasi bahan mesra alam adalah lebih selamat digunakan pekerja ladang.
"Kelebihan produk ini ialah ia digabungkan dengan formulasi bahan lengai berasas minyak sawit yang dapat mengurangkan keradangan mata dan kulit.
"Selain itu, ia juga dapat mengawal serangga perosak yang terdapat pada tanaman hortikultur lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Pameran Malaysia Agro (MyAgro 2011) di sini hari ini.
Tambah Hanapi, produk tersebut terdiri daripada butiran cypermethrin yang dicampur dengan air dan ia bebas daripada bahan larut berasaskan petroleum mudah meruap.
"Cara penggunaan racun serangga Envo-Cyper juga lebih mudah berbanding produk saingannya.
"Produk ini bertindak secara sentuhan dengan kawalan yang meluas dan formulasinya yang berasaskan sumber boleh diperbaharui tidak akan terpengaruh oleh harga minyak mentah dunia," katanya.
Jelas Hanapi, Imaspro sentiasa mengutamakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan sekali gus bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi penghasilan produk ini.

No comments:

Post a Comment